Monday, January 1, 2018

MENUJU PENJAJAHAN LEPAS 60 TAHUN MERDEKA?

MASUKAN BLOG PADA KALI INI
SEMPENA PERHIMPUNAN AGONG PERTAMA
PARTI PERIBUMI BERSATU MALAYSIA
YANG PERTAMA
PADA
30HB DISEMBER, 2017

Pada 31 Ogos, 2017 genaplah 60 tahun
Malaya MERDEKA.

Saya menunggu selama hampir 4 bulan untuk redanya keghairahan kerajaan menganjurkan pesta Merdeka sebelum mengajak para pembaca yang budiman untuk sama-sama merenung erti kemerdekaan yang sangat bermakna bagi kita.

EUPHORIA PESTA PERHIMPUNAN AGONG UMNO

Saya juga tidak sanggup menunggu begitu lama untuk memberi komen mengenai pandangan saya terhadap euphoria Perhimpunan Agong UMNO yang baru berlalu.

Oleh kerana sudah banyak komen mengenai bajet yang telah dibentang di dalam Parlimen, biarlah penulis lain yang membuat komentar mengenainya.

MATLAMAT DIADAKAN SAMBUTAN HARI MERDEKA

Saya pernah menjadi Menteri yang mempengerusikan Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan dari tahun 1983 sampai tahun 1994 dan memimpin 12 kali perayaan Hari Kebangsaan.

Pada setiap tahun tumpuan diberi kepada 'Tema Sambutan Hari Kebangsaan' dengan harapan supaya rakyat Malaysia ditanam dengan nilai-nilai yang diketengahkan oleh tema Hari Ulangtahun Kemerdekaan.

Tema sambutan hari kebangsaan, dan sejarah kemerdekaan, adalah 2 aspek terpenting yang perlu diketengahkan melalui acara-acara sambutan.  

Tuesday, December 26, 2017

ACEH, BANJAR, BETAWI, BOYAN, BUGIS, JAWA, LOMBOK, MADURA, MANDAILING, MINANG, PALEMBANG, RANAU, RAWA, RIAU, SIAK, SUNDA DAN LAIN-LAIN

SEMUANYA MELAYU BELAKA

Jika anda pernah terbaca karangan saya dalam blog ini bertajuk TERIMA KASIH TUN GHAZALI SHAFIE pasti anda akan menemui satu soalan yang pernah saya tanya padanya, sebagai Menteri saya di Kementerian Dalam Negeri atas sebabnya bila beliau bertemu dengan orang Aceh, seperti Teungku Hasan Muhamad Di Tiro, Wali Gerakan Aceh Merdeka, Tun Ghazali Shafie menyatakan neneknya orang Aceh; bila beliau bertemu dengan orang Jawa, seperti Kepala BAKIN Ali Martopo, Tun Ghazali Shafie menyatakan neneknya berasal dari Jawa; bila beliau bertemu dengan tokoh Thailand, seperti General Sayud, beliau menyatakan neneknya berasal dari Pattani, dan bila beliau bertemu dengan orang Minangkabau beliau menyatakan neneknya berasal dari Minangkabau. Saya menyaksi sendiri kejadian ini. Jawabnya ringkas, ' Kerana mereka semuanya Melayu belaka.'

KENAPA SEMUANYA DIPANGGIL MELAYU
 
Apa yang saya tidak tulis dalam blog di atas ialah penjelesan Tun Ghazali Shafie, yang juga disahkan oleh seorang lagi yang pernah menjadi Menteri saya iaitu Tan Sri Abdul Kadir Yusof di waktu saya menjadi Timbalannya di Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah, selepas Pilihanraya Umum tahun 1978. Mereka berdua, seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang terkenal kebijaksanaannya dan seorang lagi peguam yang handal yang pernah menjadi Peguam Negara yang integritinya tidak pernah dipersoalkan, menyatakan bahawa dalam kad pengenalan rakyat Malaya, berbeza dengan kad pengenalan rakyat Singapura tidak di sebut dari keturunan apa seseorang itu dilahirkan melainkan semuanya ditulis Melayu belaka.

Wednesday, December 13, 2017

OTOBIOGRAFI SANUSI - 8. PENGAKAP - BERSILAT - TAMIL- JERMAN

BERTEMU DENGAN MATRON KALI PERTAMA

Setelah dirotan Mr. Ryan telah menasihati saya untuk bertemu dengan Matron Ce' Embun di klinik yang terletak di hostel bangunan asrama Bangunan Utama di MCKK. Ce' Embun ialah isteri Cikgu Arrifin.
 
Saya agak malu bila berjumpa Matron kerana saya diminta membuka seluar untuk beliau melihat punggung saya yang sudah merah lebam kerana dirotan. Bila Matron melihat saya tersipu-sipu dia berkata, 'Anggap saya seperti ibu sendiri .. jangan malu-malu.' Setelah selesai disapunya minyak di punggung saya Matron pun berkata, 'Sanusi bernasib baik kerana Mr. Ryan pakai rotan yang tebal..... kalau rotan nipis lagi sakit rasanya... kenapa Sanusi dirotan?' Saya jelaskan apa yang berlaku dan saya gembira bila Matron berkata, 'You have done a good job.' Rupa-rupanya dia sudah tahu mengenai kempen mengekalkan Guru Besar dan tidak mahu Guru Besar dari kalangan rakyat Malaysia.

Selesai bertemu dengan Matron Ce' Embun di bangunan besar asrama utama MCKK saya berjalan balik melalui jalan berbumbung sehingga ke pintu pagar sebelum melintasi jalan ke bilik darjah di seberang jalan.

KEDAI DOBI AH CHENG

Kira-kira 10 ela dari pintu pagar saya berhenti di sebuah kedai kecil yang di dalamnya ada dua orang berbangsa China, satu darinya bernama Ah Cheng tukang dobi. Barulah saya teringat bahawa saya dikehendaki menghantar pakaian saya kepada dobi dan untuk itu saya perlukan wang untuk membayar upah kepada tukang dobi.

Ah Cheng seorang yang peramah orangnya. Melihat watak dan air muka Ah Cheng saya teringat kepada Ah Tat penjaga kantin di Sekolah Ibrahim Sungai Petani dulu. Saya juga teringat bagaimana Ah Tat telah mengajar beberapa perkataan bahasa Hokkien untuk membolehkan saya meminta nasi berkuah sayur tanpa difahami oleh pelajar yang lebih berupaya membeli makanan yang lebih enak di waktu itu.


Wednesday, November 15, 2017

OTOBIOGRAFI SANUSI - 7. MENGENALI MCKK

TIBA DI KUALA KANGSAR

Bila sampai di stesen keretapi Kuala Kangsar, abang angkat saya, Talib bin Abdullah telah membelanja saya untuk makan nasi lemak dan milo bersamanya di kedai makan mamak di stesen keretapi itu. Selepas itu abang Talib telah membawa sebuah beg yang berisi pakaian saya dan kami sama-sama berjalan kaki dari stesen keretapi ke MCKK.
Sampai di anjung pintu masuk ke bangunan baru sekolah saya telah ditinggal oleh abang Talib kerana beliau terpaksa naik keretapi yang akan segera tiba di stesen Kuala Kangsar untuk beliau kembali ke Prai dan seterusnya ke Alor Setar untuk pergi ke Kuala Kedah naik feri menuju ke pelabuhan Kuah di Langkawi. Bang Talib terpaksa segera pulang ke Langkawi kerana beliau telah lama meninggalkan tempat kerjanya. 
Saya telah menarik beg saya untuk masuk ke pejabat pengurusan MCKK dan berjumpa dengan kerani besar Encik Suffian. Saya juga mula berkenalan dengan pembantu pejabat atau office boy yang bernama Rahman yang turut membantu saya mengangkat beg. Bang Rahman kelihatan mesra orangnya.

Wednesday, November 8, 2017

TIDAK TAKUT DAN MALU TAPI LUPA

BANGSA YANG TIDAK TAKUT TIDAK AKAN MAJU

Pagi tanggal 1 Hijrah, 1439 saya terdengar dalam satu dialog dalam TVONE di Jakarta Professor Salim Said dari Universiti Indonesia menjawab pertanyaan 'Kenapa Indonesia tidak menjadi sebuah negara yang maju?'
Jawapan kepada pertanyaan ini juga relevan bagi Malaysia.

Professor Salim dengan fasih, bersemangat dan meyakinkan mengajak para pendengar untuk melihat negara-negara yang maju di dunia ini seperti Korea Selatan, Taiwan, Singapura dan Israel.

Katanya, Korea Selatan maju kerana mereka TAKUT kepada Korea Utara;  

Taiwan maju kerana TAKUT kepada China; 

Singapura maju kerana TAKUT berada di tengah lautan bangsa Melayu di nusantara; dan 

Israel maju kerana TAKUT kepada umat Islam Arab yang berada di sekeliling mereka.  

Indonesia, kata Professsor berkenaan TIDAK TAKUT WALAU KEPADA TUHAN sekalipun, makanya ianya tidak maju.
  
Pemimpin Melayu di Malaysia juga nampaknya tidak takut pada siapapun dalam mengerjakan kemungkaran.

Tuesday, November 7, 2017

DR MUHAMMAD ABDUL KHALID - EKONOM BERJIWA RAKYAT




Jangan Potong Bajet yang Penting



Potong Gaji Menteri Tangani Ekonomi Semasa


Panas!! Bila Pakar ni Bagi Hujah




Video Penuh Soal Jawab Soal Bajet 2018 - TV3



Video Penuh TV1 Landskap Pra Bajet Harapan Rakyat dan Realiti Ekonomi




Untuk makluman, Dr. Muhammad Abdul Khalid ini adalah penulis buku bertajuk "The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia". Prakata dan pengenalan buku ini pernah dikemukakan dalam blog ini pada 18hb Oktober 2014 atau dapat dirujuk melalui tautan berikut ini: http://sanusijunid.blogspot.co.id/2014/10/the-colour-of-inequality.html

Ulasan buku ini oleh Dato' Zaini Hassan juga pernah diturunkan dalam blog ini pada 18hb Oktober 2014. Sila rujuk tautan berikut ini: http://sanusijunid.blogspot.co.id/2014/10/cuit-di-utusan-malaysia-ulasan-buku.html

Saturday, October 21, 2017

OTOBIOGRAFI SANUSI - 6. PERSIAPAN KE MCKK

MELAWAT YAHWA NYAK HUSEIN DI JUNJUNG, KEDAH

Ayahanda Junid tidak sempat mengetahui bahawa saya berjaya mendapat tempat di Kolej Melayu Kuala Kangsar untuk meneruskan pelajaran menengah di Tingkatan Satu pada awal tahun 1957 sekitar umur 13+ tahun
Sebaik sahaja saya mendapat surat jemputan ke Kolej Melayu Kuala Kangsar atau MCKK saya telah terburu-buru ke rumah ayah angkat saya Nyak Husein bin Cut Li di Junjung, Kulim Kedah.

Nyak Husin ialah anak sulong Cut Li. Isterinya ialah Nyak Asiah binti Teungku Hamzah iaitu adek kepada isteri pertama Nyak Gam yang bernama Nyak Fatimah binti Teungku Hamzah.
Kebetulan waktu itu di bulan puasa. Selepas makan sahur saya terus ke tempat tidur tetapi tidak dapat memejam mata memikirkan saya masih belum mempunyai dana untuk ke MCKK.
Saya terdengar perbicaraan dalam nada bisikan antara bapak saudara saya dan isterinya mengenai saya, dan dari perbicaraan itu jelas sekali kepada saya bahawa mereka juga tidak berkemampuan untuk menanggung perbelanjaan saya untuk ke MCKK.
Oleh kerana saya tidak berhasrat menyusahkan bapa saudara yang sememangnya bukan dari kalangan orang yang senang berada hidupnya, maka setelah solat subuh, tanpa diketahui oleh sesiapa, saya terus bawa beg berisi pakaian dan berjalan kaki dari Junjung ke Butterworth yang agak jauh juga. Saya tidak sedar berapa jauh perjalanannya tetapi akhirnya sampai juga ke Butterworth setelah berhenti di bawah pokok rindang yang ada sepanjang jalan. Saya tetap berpuasa walaupun dalam keletihan.