Saturday, October 18, 2014

CUIT DI UTUSAN MALAYSIA - ULASAN BUKU

Di  bawah ini saya turunkan satu ulasan oleh Dato' Zaini Hassan di  ruang CUIT yang memperkenalkan buku karangan Dr. Muhammed Abdul Khalid  yang  pernah saya temui di waktu beliau sedang menyiapkan  tesisnya yang kini diterbitkan dengan tajuk THE COLOUR OF INEQUALITY.  Ulusan lanjut mengenai buku ini  akan saya turunkan dalam masukan blog berikutnya. Selamat membaca.




Dr.  Muhammed dan The Colour of Inequality

Oleh Zaini Hassan
Utusan Malaysia, Kolom Rencana, 8 Oktober 2014

SAYA mengenali Dr. Muhammed Abdul Khalid semasa beliau menjadi penyelidik di ISIS beberapa tahun lalu.

Beliau juga adalah pengikut setia kolum ini. Dan saya turut mendapat banyak input daripada beliau dalam hal-hal berkaitan sosial, ekonomi dan politik.

Baru-baru ini, beliau telah menerbitkan sebuah buku, yang antara rakan-rakannya ternanti-nantikan. Saya diminta beliau mengulas bukunya.

Saya merasa terhormat untuk mengulas bukunya bertajuk The Colour of Inequality - Ethnicity, Income, And Wealth In Malaysia (Warna Ketidaksamaan - Etnik, Pendapatan dan Kekayaan di Malaysia).

Dr. Muhammed, ialah seorang ahli ekonomi Melayu muda yang berasal dari Pulau Pinang. Berkelulusan ijazah kedoktoran dari Perancis.

Yang menarik perhatian saya mengenai buku ini adalah sejarah political economy mengenai jurang kekayaan di Malaysia, terutamanya di antara kaum bumiputera dan bukan bumiputera, dan hala tuju jurang ini yang bagi saya amat menggerunkan.

Buku ini yang penuh dengan data dan fakta menunjukkan bahawa jurang kekayaan (asset) adalah lebih teruk daripada jurang pendapatan (income), baik dari segi kaum, mahupun di antara yang kaya dan yang miskin.

Walaupun negara kita dapat mengurangkan kadar kemiskinan dan jurang pendapatan sejak DEB diperkenalkan, namun kebelakangan ini jurang pendapatan kembali melebar.

Yang mengejutkan, jurang pendapatan di antara bandar dan kampung ketika ini amatlah teruk sekali, malah lebih teruk daripada tahun 1957! Dari segi jurang pendapatan antara kaum, ia makin melebar sejak tahun 2009.

Jurang pendapatan di antara kaum bumiputera dan Cina telah meningkat sebanyak 10 peratus dari tahun 2009 hingga 2012, dan ini bukan sahaja pertama kali ia berlaku sejak tahun 1970, tetapi juga sekaligus melenyapkan segala pencapaian yang dicapai sedekad yang lalu.

Yang mengejutkan saya adalah data yang menunjukkan kedaifan rakyat Malaysia, terutamanya kaum bumiputera dalam pemilikan harta, termasuk hartanah dan saham.

Dari segi pemilikan aset kewangan, 72 peratus yang tidak mempunyai aset ini adalah kaum bumiputera.

Namun jika dilihat dari segi kaum, majoriti penduduk di negara kita ini, baik bangsa Melayu, kaum Cina mahupun India tidak mempunyai sebarang aset kewangan.

Ini mungkin sesuatu yang tidak masuk akal tetapi Dr. Muhammed menunjukkan bahawa inilah realitinya.

Jika dilihat dari segi pemilikan Amanah Saham Bumiputera (ASB), lebih kurang separuh daripada kaum bumiputera di negara ini mempunyai akaun bersama ASB.

Daripada separuh yang ada akaun itu, purata simpanan adalah lebih kurang RM15,400, tetapi jika dikaji lagi, lebih dua pertiga atau 72 peratus hanya mempunyai RM554 sahaja!

Jurang yang sama dihadapi oleh kaum yang lain, malah jurang di antara kaum India yang paling teruk sekali di mana 64 peratus kaum India di negara ini tidak ada satu sen pun aset kewangan, berbanding kaum Cina (56 peratus) dan golongan bumiputera (64 peratus).

Kedaifan yang sama berlaku dari segi pemilikan hartanah apabila tiga-perempat orang yang tidak mempunyai aset ini adalah daripada golongan bumiputera.

Di mana silapnya, terutamanya di kalangan bumiputera walaupun pelbagai polisi dilaksanakan dan berpuluh agensi telah ditubuhkan?

Adakah kerana Melayu malas, boros, tiada kelulusan tinggi ataupun ada faktor yang lain?

Dr. Muhammed telah menunjukkan bahawa terdapat kajian mendapati bahawa faktor kadar tabungan, perbelanjaan, mahupun pendidikan bagi kaum bumiputera adalah sama dengan kaum yang lain. Jadi di mana silapnya?

Penulis menghuraikan tiga perkara.

Pertama, diskriminasi kaum terhadap graduan Melayu walaupun mereka mempunyai kadar kelayakan yang sama dengan kaum lain menghalang golongan ini untuk mendapat pekerjaan dan gaji yang setimpal dengan kaum lain, iaitu sumber penting untuk pengumpulan aset.

Kedua, inherited asset (harta pusaka) kaum lain terutamanya kaum Cina, lebih banyak memberi harta kepada anak-anak mereka, walaupun golongan majoriti kaum Cina juga tiada aset.
Ketiga, dan yang paling penting sekali, kegagalan pihak pemegang amanah, baik daripada parti Melayu seperti Pas atau pun UMNO yang jelas sekali tidak mengambil endah mengenai status sosioekonomi bangsa Melayu.

Wawancara Dr. Muhammed dengan orang kuat parti-parti politik ini menunjukkan bahawa mereka ini lebih suka berpolitik daripada menyelesaikan masalah ekonomi kaum Melayu.

Kecuaian ahli politik ini, disambung pula oleh syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC).

Dr. Muhammed menyatakan, berdasarkan temubual beliau dengan ketua-ketua GLC, jelas menunjukkan mereka bukan sahaja tidak memberi perhatian terdapat dasar bumiputera, malah ada di antara mereka yang mengutuk dasar bumiputera.

Malah ada yang mencaci bangsa Melayu sendiri.

Tidak hairanlah GLC seperti UDA yang diberi amanah untuk meningkatkan penguasaan hartanah kini lebih senang mengalibabakan projek yang diberi.

Tiba masanya untuk kita kaji semula kesemua polisi dan agensi-agensi yang bertanggungjawab terhadap peningkatan sosioekonomi kaum bumiputera.

Yang saya risaukan adalah kesimpulan buku ini, di mana penulis Dr. Muhammed, amatlah khuatir dan pessimistic mengenai masa hadapan.

Dasar-dasar kerajaan yang sedia ada, terutamanya dasar pendidikan, dasar pencukaian dan kerenah GLC ini akan membuat jurang makin meluas dan majoriti rakyat negara ini, daripada semua kaum, akan makin melara.

Ini adalah time-bomb, jika ia tidak ditangani dengan segera.

Saya menyeru agar pembesar negara kita, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang membaca buku ini.

Kita masih ada masa. Selesaikanlah dengan segera. Biar kita ikhlas tentang kegagalan kita, supaya jalan penyelesaian dapat dibuat.


1 comment:

Anonymous said...

"Ketiga, dan yang paling penting sekali, kegagalan pihak pemegang amanah, baik daripada parti Melayu seperti Pas atau pun UMNO yang jelas sekali tidak mengambil endah mengenai status sosioekonomi bangsa Melayu."

TUAN TERMASOK DIDALAM KANDANG ORANG YANG BERSALAH.